SRIKANDI FISABILILLAH

Siapakah sebenarnya Yakjuj dan Makjuj?

Ada segolongan umat Islam berpendapat Yakjuj dan Makjuj ialah golongan Tartar yang telah menyerang dan meruntuhkan kota Baghdad pada abad ketiga belas Masihi. Namun Hamka kurang bersetuju dengan pendapat ini kerana belum pun sampai setengah abad selepas keruntuhan Baghdad, pimpinan-pimpinan Tartar seperti Aurangzib telah memeluk Islam serta menyebarkan kebenaran Islam di negara mereka. 

Segolongan yang lain berpendapat, Yakjuj dan Makjuj ialah keturunan Khazar yang pada asalnya tinggal menetap di kawasan yang pada hari ini dikenali sebagai Turki dan Rusia Selatan... Mengikut Ahmad Thomson di dalam bukunya yang bertajuk Dajjal the Anti Christ terbitan Ta-Ha Publishers Limited, London, pada tahun 1997, keturunan Khazar amat mahir di dalam hal ehwal perniagaan dan kewangan dan mereka berada di tempat-tempat strategik di dunia pada hari ini. Dengan kedudukan dan kemahiran ini, mereka mampu mendatangkan kekucar-kaciran kepada manusia di akhir zaman.

Mengikut Ali Akbar di dalam bukunya Israel and the Prophecies of the Holy Quran terbitan Seraj Publications, Cardiff, pada tahun 1963, untuk mengenali latar belakang Yakjuj dan Makjuj, kita perlu mengetahui kedudukan Tembok Zulqarnain. Mengikut beliau, tembok ini terletak di sebelah selatan Laut Caspian. Panjangnya ialah 50 batu, ketinggiannya 29 kaki dan tebal temboknya 10 kaki. Pada pandangan beliau, gunung ganang yang disebutkan di dalam ayat Quran di dalam surah Al-Kahfi ialah gunung ganang yang terdapat di kawasan Azerbaijan dan Armenia. Bangsa-bangsa yang tinggal di kawasan ini terutamanya dari etnik Slavs dan Teutonic akhirnya melahirkan bangsa Eropah yang menguasai bumi pada hari ini..................

Berdepan dengan tafsiran yang pelbagai tentang Yakjuj dan Makjuj, Hamka telah merumuskan di dalam Tafsir Al-Azhar karangan beliau: "Dapatlah disimpulkan, Yakjuj dan Makjuj ialah dua nama yang bersatu padu untuk melaksanakan aktiviti kerosakan di muka bumi. Ia boleh diertikan sebagai isme dan ideologi sesat yang boleh membawa manusia kepada kebinasaan. Yakjuj dan Makjuj bergerak laksana air, ia akan terus mencari ruang untuk masuk walaupun ruang itu sebesar lubang jarum. Justeru benteng di dalam bentuk pemikiran yang baik, cita-cita yang mulia serta ideologi yang sihat mesti sentiasa teguh di dalam diri seseorang.... Orang-orang Islam zaman sekarang terus berfikir dan pada hari ini terdapat satu tafsiran baru tentang Yakjuj dan Makjuj. Kalimat Yakjuj dan Makjuj berasal dari kalimat Arab ajja dan taajjaja yang bermaksud "menyala, membakar dan menggelegak." Zaman sekarang, mengikut pendapat ini, adalah zaman Yakjuj dan Makjuj kerana kehidupan kita memerlukan api dan cahaya apatah lagi selepas meledaknya zaman industri. Akhirnya manusia berjaya mencipta senjata nuklear serta sinar radioaktif dan kesemua ini dapat membinasakan manusia dalam sekelip mata... Manusia akan terus berfikir dan mentafsirkan ayat mengikut suasana zaman mereka. Tafsiran-tafsiran ini dapat diterima dengan syarat ia tidak terbabas dari maksud asal ayat Al-Quran. Namun kesemua tafsiran ini adalah tafsiran manusia yang cuba memahami maksud ayat-ayat Allah."

Apa yang ketara pada hari ini ialah golongan yang menguasai teknologi yang canggih ialah golongan yang amat membenci Islam. Senjata-senjata ini akan terus digunakan untuk memusnahkan kehidupan manusia terutamanya umat Islam di akhir zaman. Ia telah digunakan oleh Soviet Rusia, Amerika serta sekutu-sekutunya. Ia juga telah digunakan oleh rejim Yahudi Israel untuk membunuh umat Islam. Di akhir zaman, Yakjuj, Makjuj serta Dajal akan sama-sama bergerak dan beroperasi untuk menguasai dunia dengan menggunakan taktik dan strategi sesat yang membinasakan. Justeru Yakjuj dan Makjuj tidak banyak berbeza dengan Al-Masih Dajal. Jika adapun perbezaan di antara mereka ia hanyalah di dalam aspek cara bergerak dan beroperasi. Dajal akan banyak memberikan fokus di dalam aspek ide, isme, falsafah, oder baru serta agama dan Yakjuj dan Yakjuj di dalam aspek teknologi canggih."

No comments:

Post a Comment